JIKA anda pelanggan stesen minyak Shell, pasti setiap kali mengisi petrol atau diesel, membeli minyak pelincir atau mendapatkan pelbagai barangan di Shell Select pada harga melebihi RM30, anda dihulurkan borang peraduan berwarna biru.
Namun, tidak keterlaluan jika dikatakan anda mungkin tidak mengambil endah borang peraduan ini yang sebenarnya boleh membawa tuah.
Kepada mereka yang tidak pernah mengambil pusing Peraduan Wang Tunai Shell, anda mungkin cemburu jika mendapat tahu pemenang hadiah wang tunai mingguan bernilai RM100,000 sebenarnya tidak perlu berbuat apa-apa. Isi petrol, lengkapkan borang peraduan dan kembalikan di stesen minyak yang dikunjungi - mudah saja!
Seperti pelanggan Shell lain, semua pemenang bertuah pada awalnya skeptikal dengan penganjuran peraduan seperti ini. Rata-rata tidak terfikir terpilih sebagai pemenang, biar berapa banyak pun borang peraduan dihantar kepada penganjur.
Namun, selepas didorong insan terdekat dan kakitangan stesen minyak Shell yang sering dikunjungi, kumpulan pemenang hadiah mingguan bernilai RM100,000 ini akhirnya akur mengisi borang penyertaan dan berharap tuah menyebelahi mereka.
Sisipan XY - Ikon Lelaki yang menemuramah tiga pemenang bertuah ini percaya perumpamaan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu?
Bak kata pemenang minggu ketiga Peraduan Wang Tunai Shell, Syahrul Hafizi Amer, 33, dari Pulau Pinang, biarpun setia melanggan Shell, beliau tidak pernah mengambil berat peraduan yang dianjurkan syarikat itu.
Malah, pada suatu ketika, beliau hanya menyimpan borang peraduan yang diterima.
“Saya selalu mengisi petrol di stesen Shell sama, jadi kakitangan stesen itu kebanyakannya kenal saya. Melihat saya sering mengabaikan borang peraduan yang diberikan, pada suatu hari, seorang kakitangan stesen terbabit menggesa saya mengisi borang berkenaan.
“Disebabkan proses mengisi borang tidak rumit, hanya perlu melengkapkannya dan dikembalikan kepada pekerja di stesen minyak terbabit, saya mula menghantar penyertaan,” katanya menceritakan detik awal beliau membuat keputusan menyertai Peraduan Wang Tunai Shell.
Syahrul yang juga anggota polis tidak menduga, beberapa minggu selepas menghantar borang peraduan, beliau menerima panggilan dari Shell yang memaklumkan beliau terpilih sebagai pemenang mingguan dengan hadiah wang tunai RM100,000.
Mengimbas kembali insiden itu, beliau yang ketika itu sedang bertugas, menjadi serba tidak kena kerana terkejut dengan berita yang diterimanya.
“Pada mulanya, saya fikir ada pihak yang mahu mengenakan saya. Tetapi, apabila menerima beberapa panggilan dari pengurusan Shell yang meminta saya memberikan maklumat diri untuk tujuan pengumuman kemenangan, barulah saya percaya.
“Saya bercadang menggembirakan keluarga dengan hadiah wang tunai ini. Saya akan belikan isteri apa yang dimahukannya. Saya juga akan memperuntukkan sejumlah wang untuk mengubahsuai kediaman ibu bapa serta membawa keluarga bercuti ke destinasi menarik,” katanya penuh gembira.
Syahrul berkata, ramai rakan-rakannya bertanya bagaimana hendak menyertai Peraduan Wang Tunai Shell.
“Saya beritahu mereka, isi saja borang dan hantar,” katanya.
Manakala pesara tentera yang kini bekerja sebagai pemandu lori, Alias Ali, 45, dari Kota Bharu, Kelantan, menggalakkan orang ramai menyertai peraduan mudah ini.
“Selama ini, saya sangka penganjur mana-mana peraduan selalunya sudah ada pemenang tertentu yang dipilih. Tetapi, saya terus mencuba kerana prosesnya mudah dan tidak memerlukan ciptaan slogan.
“Apabila saya menerima panggilan penganjur yang memaklumkan saya menang RM100,000, hendak menitis air mata ini kerana saya tidak pernah terfikir memperoleh wang tunai sebanyak itu dengan mudah,” kata pemenang minggu kelima ini.
Kata Alias, beliau bercadang menggunakan wang itu untuk membeli lori yang boleh digunakan untuk mencari pendapatan. Selebihnya, katanya, mahu membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak.
Faktor kekerapan mengisi petrol juga membawa kelebihan kepada pemenang peraduan sama tahun lalu, Zakaria Sulong, 49, dari Marang, Terengganu yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
Zakaria yang mengusahakan bot pelancong berkata, setiap bulan, beliau berbelanja lebih RM10,000 untuk mengisi petrol bot miliknya. Sebaik mendapat tahu peraduan ini dianjurkan, beliau menghantar penyertaan secara suka-suka.
“Pada peringkat awal, saya terima hadiah wang tunai hanya ratusan ringgit. Tidak lama selepas itu, saya diumumkan sebagai pemenang hadiah mingguan dengan hadiah wang tunai RM30,000.
“Kemenangan ini amat berbaloi... Saya gunakan wang ini untuk membeli dua enjin baru untuk bot saya,” katanya.
Peraduan Wang Tunai Shell yang bermula 30 November 2009 hingga 7 Mac 2010 menawarkan ganjaran tunai sehingga RM3.22 juta kepada lebih 14,000 pelanggan Shell.
Setiap minggu, Shell akan memberi RM100,000 kepada seorang pemenang hadiah utama, RM10,000 kepada tiga pemenang hadiah pertama dan RM100 sebagai hadiah sagu hati kepada 1,000 pelanggan. Selain itu, semua pemenang mingguan akan menerima mata BonusLink mengikut angka jumlah ganjaran tunai yang diterima.











